Halaman

Pendedahan “Ekor kapal Terbang” MAS MH370

SEPANG – Objek yang pada mulanya disangka ekor kapal terbang yang dikesan di Laut China Selatan oleh beberapa pesawat yang terlibat dalam usaha mencari pesawat Malaysia Airlines (MAS) yang hilang, akhirnya didapati merupakan beberapa batang kayu yang diikat untuk membentuk sebuah pontun oleh kapal yang dikerah ke tempat berkenaan. Perkara ini dinyatakan Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Datuk Azharuddin Abdul Rahman pada sidang akhbar yang diadakan secara berkala sejak kehilangan pesawat MH370 pada kira-kira pukul 1.30 pagi Sabtu ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing.


Beliau berkata setakat ini, tiada sebarang pengesahan bahawa serpihan pesawat berkenaan dijumpai mana-mana agensi yang menyertai operasi mencari dan menyelamat, walaupun terdapat khabar angin bahawa bahagian pesawat terbabit dilihat terapung di Laut China Selatan.Pesawat Boeing 777-200ER MAS itu hilang ketika dalam penerbangan di ruang angkasa antara Malaysia dan Vietnam 49 minit setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada pukul 12.41 pagi Sabtu dengan membawa 239 orang, termasuk 12 anak kapal.

“Terdapat laporan oleh pelbagai media bahawa bahagian pesawat berkenaan dijumpai oleh beberapa agensi penyelamat. Malam tadi, beberapa media melaporkan pihak berkuasa ternampak satu objek yang dipercayai adalah pintu kapal terbang. “Bagaimanapun, laporan itu tidak disahkan secara rasmi oleh pihak berkuasa Vietnam. Kami segera menghubungi mereka dan mereka mengesahkan bahawa mereka tidak menjumpai objek itu,” katanya.Azharuddin berkata pihak berkuasa juga hairan kenapa masih tidak terdapat sebarang tanda tentang pesawat yang hilang itu walaupun sudah lebih 60 jam berlalu.

Menurut beliau sampel tompokan minyak yang dijumpai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di luar pantai Tok Bali, Kelantan pada Ahad telah dihantar ke makmal untuk menentukan sama ada ia berasal daripada pesawat yang hilang itu. “Harap-harap, apabila kami menerima laporan daripada makmal nanti, kami akan mempunyai sesuatu untuk diumumkan,” katanya. Beliau berkata bukti jelas dan kukuh, seperti bahagian badan pesawat, perlu didapati untuk membolehkan kajian forensik dan analisis dibuat tentang apa yang berlaku kepada pesawat berkenaan. Media dan beberapa pakar dari seluruh dunia memberi pelbagai teori yang boleh menyebabkan pesawat berkenaan hilang ‘begitu sahaja’, katanya.

“Kita tidak boleh menolak sebarang kemungkinan. Kami sendiri pun kebingungan juga,” katanya. Azharuddin berkata usaha mencari juga dilakukan di kawasan Selat Melaka kerana mereka tidak mahu menolak kemungkinan pesawat terbabit berpatah balik.Katanya pihak berkuasa, dengan kerjasama pelbagai negara, akan menggiatkan usaha untuk mengesan pesawat yang hilang itu. Kini, usha mencari melalui udara diadakan setiap hari dari 7 pagi hingga 7 malam, manakala usaha mencari menggunakan kapal pula diadakan sepanjang malam. – Bernama

Site Meter