Halaman

Jurulatih Mexico minta pemain elak hubungan intim di Piala Dunia 2014

MEXICO CITY - Pengurus Me­xico, Miguel Herrera mahukan para pemainnya mengelak daripada melakukan hubungan intim sepanjang Piala Dunia di Brazil, sambil berseloroh tidak mengapa jika anak-anak buahnya sekadar melihat, tetapi tidak dibenarkan menyentuh wanita yang memakai bikini.

Jurulatih itu berkata, dia tidak menyekat skuad 23 pemainnya bersosial, tetapi lebih suka jika mereka menahan diri daripada terbabit dengan aktiviti sedemikian sepanjang kejohanan berlangsung.

"Saya tidak melarang mereka melakukan hubungan intim atau pun menggalakkan perbuatan tersebut. Saya cuma memikirkan tentang bola sepak dan saya berharap pemain juga berfikir perkara yang sama kerana tiada sesiapa pun yang akan mati jika berpantang selama 40 hari.

"Segelintir pemain masih te­runa dan mereka berusia lingkungan 20 hingga 25 tahun. Jadi, tolonglah, tiada siapa pun yang akan mati untuk tempoh selama 40 hari itu," kata Herrera.

Ketika ditanya sama ada per­aturan tersebut turut termaktub kepada kakitangan kejurulatihan, Herrera berkata, dia mungkin terlalu sibuk untuk merangka taktik menentang pencabar dalam Kumpulan A Brazil, Croatia dan Cameroon daripada memikirkan perkara lain.

"Jika awak terserempak de­ngan wanita yang memakai bikini, awak boleh melihatnya, itu sahaja. Itu tidak menjadi hal. Penginapan kami berhadapan dengan pantai, jadi adalah mustahil kami tidak akan bertembung dengan wanita yang me­ngenakan bikini di Brazil, tetapi untuk sekadar melihat, ia tidak mendatangkan kemudaratan," ujarnya dalam nada berseloroh.

Pusat latihan Mexico terletak di bandar pesisiran pantai, Santos.

Jurulatih Brazil, Luiz Felipe Scolari berkata April lalu, dia telah pun memaklumkan kepada para pemainnya bahawa mereka dibenarkan untuk mengadakan hubungan intim normal sebelum perlawanan, tetapi perlu meng­elak daripada melakukan aksi akro­batik. - AFP

Site Meter