Halaman

Louis van Gaal diberi bajet RM1.08b oleh Manchester United

LONDON - Louis van Gaal bakal menerima gaji sebanyak 6 juta pound (RM32 juta) setahun dan bajet sebanyak 200 juta pound (RM1.08 billion) bagi membantu dia mencatat sejarah sebagai pe­ngurus baharu Manchester United.

Jurulatih Belanda yang dilantik sebagai pengganti David Moyes itu, dengan perjanjian selama tiga tahun, akhirnya disahkan sebagai pengurus United yang baharu pada pukul 9 malam kelmarin (2 petang waktu London) iaitu sejam selepas kiriman emel yang memaklumkan staf berhubung struktur pengurusan baharu kelab.

Bagi memastikan pengambilalihan itu benar-benar membuahkan hasil, Ryan Giggs dilantik sebagai pembantu Van Gaal. Malah, Giggs tidak mengambil masa lama untuk mengumumkan persaraannya sebagai pemain bagi memberi tumpuan kepada peranan baharunya itu.

Kelab juga masih mahukan tiga ahli Kelas '92 iaitu barisan kejurulatihan yang terdiri daripada Phil Neville, Nicky Butt dan Paul Scholes terus bersama mereka, tetapi peranan ketiga-ketiga bekas pemain tersebut masih belum didedahkan lagi.

Van Gaal akan menggalas tanggungjawabnya selepas Piala Dunia, tetapi dia sudah pun memulakan tugasnya menentukan masa depan United pada musim depan, dengan mengarahkan beberapa perubahan staf di belakang tabir serta menyenaraikan pemain yang menjadi sasarannya dalam tempoh pasaran perpindahan.

Selain pemain pertahanan Jerman, Mats Hummels dan Holger Badstuber menjadi buruan Van Gaal, pemain tengah seperti Toni Kroos dan Arjen Robben serta penyerang, Mario Mandzukic turut berada dalam radar kelab itu yang mana keputusan telah pun dilaksanakan oleh kakitangan soko­ngan.

Jurulatih penjaga gol, Chris Woods, ketua peninjau, Robbie Cooke dan penganalisis, James Smith antara yang disingkirkan, sementara Van Gaal telah memutuskan untuk membawa Patrick Kluivert bersamanya, manakala David Blind akan terus kekal bersama skuad kebangsaan sebagai pembantu Guus Hiddink.

Selain pelantikan Giggs, jurulatih penjaga gol Belanda, Frans Hoek dan jurulatih, Marcel Bout yang memiliki kepakaran sebagai peninjau pasukan lawan akan menyertai pasukan sebagai kakitangan di belakang tabir.

Walaupun, United tidak merancang untuk memperkenalkan Van Gaal, 62, kepada media, tetapi kelab itu masih mengeluarkan kenyataan akhbar mengenai harapan serta perancangan pengurus pertama Red Devils dari luar Kepulauan British itu sebaik dilantik.

“Memang impian saya untuk bertugas dalam Liga Perdana. Bekerja sebagai pengurus Manchester United, kelab terbesar di dunia, membuat saya berasa bangga. Kelab ini mempunyai cita-cita besar. Saya juga memiliki impian sama. Bersama-sama, saya yakin kami mampu melakar sejarah," kata Van Gaal. - AGENSI

Site Meter