Halaman

Messi janji pamer prestasi terbaik di Piala Dunia 2014

BUENOS AIRES - Bintang Argentina, Lionel Messi semalam berkata bahawa peminatnya akan menyaksikan dirinya yang berlainan dalam Piala Dunia berbanding ketika beraksi di bawah prestasi sebenar musim ini dengan Barcelona.

"Sebaik sahaja saya menyertai pasukan kebangsaan, suasananya benar-benar berbeza. Banyak kali sebelum ini apabila saya kembali ke Barcelona saya bermain dengan bagus. Sekarang saya mengharapkan yang sebaliknya berlaku," katanya kepada wartawan setelah tiba di Lapangan Terbang Buenos Aires.

Messi mengambil masa yang panjang untuk mengulangi bakatnya di Barcelona ke peringkat antarabangsa, yang hanya berlaku ketika Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan.

Pemain berusia 26 tahun itu kembali ke bandar kelahirannya, Rosario sekembalinya ke Argentina, sebelum menyertai kem latihan di Ezeiza kendalian jurulatih, Alejandro Sabella.

Dia memberi jaminan akan berlatih dengan bersungguh-sungguh untuk memberikan prestasi terbaik­nya.

"Apabila saya kembali ke padang latihan bersama rakan-rakan sepa­sukan, ia akan mengubah menta­liti saya dan ia akan menjadi cerita lain," katanya.

Dia turut mendedahkan bahawa pasukan Barcelona musim ini mengalami masalah "kekurangan tenaga".

Argentina akan bermain dalam perlawanan persahabatan menentang Trinidad dan Tobago pada 4 Jun sebelum bertemu Slovenia tiga hari kemudian.

Perlawanan pertama Argentina dalam Kumpulan F ialah menentang Bosnia Herzegovina pada 16 Jun, diikuti dengan Iran pada 21 Jun dan kemudian Nigeria pada 25 Jun. - AFP

Site Meter