Halaman

MH370 Teknologi lebih canggih digunakan untuk pencarian di laut dalam

KUALA LUMPUR - Ketika operasi mencari bagi pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370 yang hilang sejak 8 Mac memasuki fasa baharu, aset lebih canggih dan berteknologi tinggi diperlukan untuk pencarian di laut dalam.

Menyatakan demikian, pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, beliau akan mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Chuck Hagel di Singapura dalam dua minggu ini untuk memohon penggunaan aset berkenaan.

Hishammuddin berkata, badan komersil yang telah dihubungi untuk operasi mencari di laut dalam ialah syarikat-syarikat minyak dan gas iaitu Petronas, Sapura Kencana, Boustead Holdings Berhad dan DRB-HICOM Defence Technologies Sdn. Bhd. (DEFTECH) dan aset kini amat terhad.

"Adalah mustahak bila saya menemui Setiausaha Hagel dan saya mohon untuk aset lain yang telah dikenalpasti, yang Tentera Laut AS boleh bantu membekalkannya.

"Aset itu ialah sonar imbasan sisi (side-scan sonars)," kata beliau semasa sesi eksklusif bersama media tempatan, di sini hari ini.

Sonar imbasan sisi adalah sistem sonar digunakan untuk mencipta imej kawasan dasar laut yang jauh lebih luas.

Ia mampu memberi pemahaman tentang perbezaan antara bahan dasar laut dengan jenis teksturnya. - Bernama

Site Meter