Halaman

Panda simbol keakraban Malaysia dan China

KEHADIRAN dua ekor beruang panda yang bernama Fu Wa (jantan) dan Feng Yi (betina) ke Malaysia pada 21 Mei lalu membawa pelbagai pandangan sekali gus mencetuskan polemik dalam negara ini.

Apatah lagi apabila dimaklumkan kos keseluruhan dalam proses peminjaman panda selama sedekad itu mencecah RM60 juta, ia terus disifatkan sebagai satu pembaziran buat negara.

Lantaran itu, terciptalah pelbagai ayat, peribahasa dan kosa kata yang menjadikan panda sebagai sumbernya hasil ‘kreativiti’ rakyat Malaysia yang melihat perkara itu sebagai sesuatu yang negatif.

Sebaliknya, masyarakat tidak melihat proses itu membawa signifikan terhadap perhubungan diplomatik dua negara antara Malaysia dan China.

Dekan Pusat Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia, Prof. Madya Dr. Mohd. Azizuddin Mohd. Sani berkata, perkara ini yang dinamakan sebagai Diplomasi Panda merupakan satu simbolik sempena sambutan 40 tahun hubungan diplomatik antara Malaysia dan China yang akan disambut pada 31 Mei 2014.

Hubungan intim


“Hakikatnya, peminjaman dua ekor panda itu mencerminkan keakraban hubungan kedua-dua negara. Ramai yang tidak mengetahui bahawa jarang sekali China ingin meminjamkan beruang panda kepada negara luar kecuali jika negara itu mempunyai hubungan intim dengan China.

“Justeru, selama sedekad panda tersebut berada di Malaysia, ia menggambarkan sedekad keakraban hubungan Malaysia-China. Bagaimanapun, saya fikir lebih baik juga jika Malaysia meminjamkan dua ekor orang hutan kepada China sebagai balasan,” ujar Mohd. Azizuddin ketika diminta mengulas mengenai isu berkenaan.

Tambah beliau, kos RM60 juta yang digunakan dalam proses Diplomasi Panda ini akan membazir sekiranya penjagaan panda tidak dilakukan dengan baik dan Malaysia gagal memanfaatkan ketibaan panda ini sebagai tarikan pelancong.

“Namun, sekiranya difikirkan manfaat ekonomi yang akan diperoleh dari hubungan Malaysia-China, sudah tentu berbaloi membawa panda ini. Pada tahun 2012, nilai dagangan Malaysia dengan China berjumlah AS$88 bilion (RM283 bilion)

“Dalam tempoh lima tahun, nilai dagangan itu cuba ditingkatkan sebanyak AS$160 bilion (RM515 bilion). Melalui diplomasi inilah, Malaysia cuba menarik pelaburan China ke dalam negara. Jadi, memikirkan hal ini, maka adalah berbaloi membawa panda ke Malaysia,” tegas Mohd. Azizuddin lagi.

Menyentuh tentang kritikan keras dan bertubi-tubi pembangkang, beliau mengakui mereka mempunyai hak dan tidak salah untuk mengkritik. Bagaimanapun, penghujahan bernas perlu dikemukakan oleh kedua-dua pihak yang berasaskan fakta.

“Dalam persoalan Diplomasi Panda ini, ternyata kerajaan bijak menilai manfaat hubungan antara kedua negara. Saya kira langkah kerajaan ini tepat pada masanya yang boleh membawa kemakmuran kepada negara,” katanya.

Site Meter