Halaman

Piala Dunia 2014 Tiket Perlawanan Penting Habis Di Jual

SAO PAULO - Tiket-tiket beberapa perlawanan penting bola sepak Piala Dunia 2014 habis dijual dalam tempoh yang singkat kelmarin.

Tiket bagi perlawanan pembukaan, akhir dan separuh akhir telah habis dijual selepas ia disiarkan di laman web Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) tengah malam kelmarin.


Semua tiket perlawanan di sini dan di bandar raya Rio de Janeiro juga habis dijual secara dalam talian.

Tiket yang tidak terjual secara dalam talian pula akan diagih-agihkan di pusat jualan tiket di seluruh Brazil.

Namun, apabila kaunter- kaunter berkenaan dibuka pada waktu pagi, hanya tiket pasukan kurang ternama yang masih boleh dibeli.

Situasi itu menyebabkan ramai peminat kecewa selepas mereka sanggup beratur sepanjang malam untuk mendapatkan tiket.

Secara purata, sebanyak 180,000 tiket tambahan dikeluarkan FIFA untuk semua 64 perlawanan Piala Dunia kali ini yang berlangsung selama sebulan mulai minggu depan.

Bagaimanapun, tiket untuk perlawanan pembukaan Brazil menentang Croatia di sini pada 12 Jun ini habis dijual dalam tempoh sejam.

Keadaan yang serupa berlaku untuk final di Stadium Macarana pada 13 Julai depan.

Situasi tersebut menyebabkan FIFA dikritik kerana gagal membuat anggaran tepat berhubung jumlah peminat yang hadir untuk membeli tiket.

"Mereka (penganjur) bercakap bahawa rakyat Brazil tidak teratur tetapi mereka yang sebenarnya tidak teratur," kata seorang penduduk tempatan, Alexander Barbosa dalam satu wawancara bersama media APTN di Rio de Janeiro.

Menjelang kelmarin, hanya tiket untuk 15 perlawanan masih boleh dibeli termasuk Bosnia menentang Iran di bandar raya Salvador, timur Brazil pada 25 Jun ini.

Secara keseluruhan, kira-kira 3.3 juta tiket dijangka habis dijual untuk Piala Dunia kali ini.

Menurut FIFA, lebih 2.5 juta tiket telah diagihkan termasuk menerusi program-program hospitaliti badan sukan tersebut.

Dalam pada itu, sekitar 157,000 askar dan anggota polis akan dikerahkan untuk mengawal keselamatan di 12 buah lokasi perlawanan bola sepak Piala Dunia kali ini.

Seramai 20,000 ejen perkhidmatan keselamatan swasta juga akan bertugas di stadium-stadium berkenaan.

Sebagai tambahan, seramai 120 anggota polis dari 40 buah negara akan bekerjasama dengan pihak berkuasa Brazil termasuk berkongsi maklumat risikan. - AP

Site Meter