Halaman

TESCO nafi sokong Israel


Tesco Malaysia hari ini menegaskan bahawa ia tidak menyalurkan hasil jualan atau keuntungan daripada pasaraya-pasarayanya untuk tujuan menyokong Israel, seperti yang didakwa oleh pelbagai pihak.

Pengarah Perhubungan Kerajaan dan Hal Ehwal Korporat Tesco Malaysia, Azlam Shah Alias berkata sebagai sebuah syarikat yang yang telah disenarai awam yang tidak bersifat politik, Tesco Malaysia patuh sepenuhnya kepada polisinya untuk tidak membuat sebarang sumbangan dan tajaan berbentuk politik.

“Sebarang dakwaan yang bertentangan akan dianggap sebagai satu fitnah.

“Tesco plc yang berpengkalan di United Kingdom merupakan sebuah syarikat yang disenaraikan awam dan dimiliki oleh pemegang saham dari seluruh dunia.

“Salah satu daripada nilai utama kami ialah untuk menjalankan perniagaan secara bertanggungjawab dan beretika, dan kami berpegang teguh kepada prinsip ini,” katanya dalam satu kenyataan media.

Azlam Shah berkata Tesco berbangga kerana menjadi sebahagian daripada komuniti setempat yang menawarkan peluang pekerjaan kepada lebih 11,000 rakyat Malaysia dan mempunyai lebih 3,000 pembekal tempatan termasuk pembekal Industri Kecil dan Sederhana (IKS).

“Di samping itu, kami juga menyokong program-program yang bermakna bagi membantu mereka yang kurang bernasib baik, terutamanya dalam musim Ramadan dan Aidilfitri, melalui program Kasih Ramadan kami baru-baru ini,” katanya.

Sebelum ini, terdapat gesaan di laman media sosial untuk memboikot Tesco kerana dakwaan ia adalah penyokong Israel lapor AstroAwani

Site Meter