Halaman

Konsert Ambank Langit Dan Bumi

KUALA LUMPUR: Penyanyi  Datuk Ramli Sarip menyasarkan kutipan sebanyak RM500,000 pada konsert amal iaitu Doa, Langit dan Bumi untuk disumbangkan kepada mangsa banjir di beberapa buah negeri di Pantai Timur.

Ramli berkata, idea untuk mengadakan persembahan itu tetcetus selepas beliau dan Pengerusi Kumpulan AmBank, Tan Sri Azman Hashim berkunjung ke Kuala Krai, Kelantan baru-baru ini dalam misi menghulurkan bantuan kepada mangsa terlibat.

"Insya-Allah dengan sokongan semua pihak dan masyarakat Malaysia yang prihatin dana tersebut dapat dikumpulkan untuk membantu mangsa banjir.

"Kunjungan bersama Tan Sri Azman ke Kelantan baru-baru ini telah memberikan saya idea untuk mengadakan konsert berkenaan bagi meringankan beban mereka," katanya kepada mStar Online.

Ramli ditemui pada sidang media Konsert Doa, Langit dan Bumi di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini pada Selasa.

Konsert itu akan diadakan pada 22 Februari depan di Dewan Merdeka PWTC bermula pukul 2.30 petang.

Antara artis yang bakal mengadakan persembahan adalah Datuk M. Nasir, Datuk Hattan, Awie dan Ella.

Hasil kutipan itu nanti adalah untuk mengisi Tabung Pasca Banjir di bawah jagaan pihak Kumpulan AmBank.

Sidang media itu turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Ekskutif PWTC, Datuk Maxson Abdullah dan Ketua Kumpulan Komunikasi Korporat dan Pemasaran Kumpulan AmBank, Syed Anuar Syed Ali.

Dalam pada itu, Ramli berkata dia terharu dengan sokongan rakan artis dalam menjayakan persembahan itu termasuklah pemuzik handalan tanah air.

Malah kata Ramli yang juga Pengarah Urusan Rasamusic Sdn Bhd, beliau turut melahirkan rasa syukur apabila Kumpulan AmBank akan menaja kos produksi, pemasaran dan promosi konsert manakala PWTC bakal menanggung kos lokasi konsert termasuk katering.

"Beberapa syarikat Bumiputera seperti Marhaen Production turut menyumbang kemeja-T dan hasil jualan akan dimasukkan ke tabung berkenaan selain beberapa syarikat lain seperti Warisan Sound, Mewah Event dan Gua Orang Lama yang memberi sumbangan.

"Alhamdulillah dari sebuah niat ia dipermudahkan dengan pelbagai pertolongan dan tajaan bagi merialisasikan impian ini," katanya.

Sementara itu kata Ramli, persembahan pada petang itu nanti berkonsepkan semangat dengan menampilkan lagu-lagu hit mereka.

"Kami tidak mahu buat konsert yang sedih kerana tiada masa untuk itu dan apa lebih penting kita bersemangat dan bersatu padu untuk membantu mangsa banjir.

"Ini bukan kali pertama atau terakhir persembahan seperti ini bakal diadakan kerana saya berharap dapat terus membantu menerusi karya-karya kami pada masa hadapan," ujarnya.

Tiket untuk menyaksikan konsert itu dijual paxa harga RM153 dan pembelian boleh dibuat menerusi www.ilassotickets.com atau menghubungi talian hotline 03-7957-6088.

Pembelian juga boleh dibuat di Rock Corner, Victoria Music Station, Acoustic Music Station dan PWTC atau menghubungi terus Rasamusic di talian 03-7773-0677 atau 013-2633938.
Tags / Kata Kunci:
Ramli Sarip

Site Meter