Halaman

Sambutan Hari Wesak Memupuk Keharmonian

KUALA LUMPUR 2 Mei – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan akan melakukan apa sahaja untuk mempertahankan keharmonian dalam kalangan rakyat daripada ancaman ekstremis.
Tegas Perdana Menteri, keharmonian tersebut perlu dipertahankan kerana nikmat berkenaan merupakan aset paling berharga yang menjadi kekuatan kepada Malaysia sejak sekian lama.
“Keharmonian dalam kepelbagaian ini merupakan kekuatan kita yang menjadi sumber perpaduan serta aset paling berharga Malaysia,” katanya dalam perutusan Hari Wesak di sini hari ini.
Mengenai Wesak, Najib berkata, agama Buddha mendidik penganutnya agar tidak mementingkan diri selain turut menyokong prinsip perkongsian sejajar dengan falsafah kesederhanaan kerajaan.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula menyeru rakyat Malaysia agar mengelak perbuatan menghina adat, budaya dan agama sesuatu kaum kerana tindakan tersebut hanya mengundang perbalahan.
Tegas beliau, perpaduan yang selama ini menjadi nikmat tidak ternilai kepada rakyat Malaysia, hanya akan mampu dikekalkan jika semua pihak menghormati kepelbagaian budaya dan agama sesama masyarakat.
“Toleransi, persefahaman serta sikap saling menghormati telah menjadi asas kepada perpaduan rakyat Malaysia. Semangat seumpama ini perlu sentiasa dipelihara dan diperkukuhkan terutamanya dalam kalangan generasi muda,” katanya.

Site Meter